Wednesday, April 22, 2009

Tips Jangan Bersedih (V1)

Melihat manusia berada dalam kesedihan bukanlah suatu pilihan. Sebagai insan yang mempunyai hati dan perasaan, ditambah pula kalau manusia itu mempunyai ikatan persahabtan, pilihan pertama adalah membantu meleraikan kesedihanya.

Juga mempunyai kawan-kawan bermakna mempunyai pelbagai kesedihan. Ada yang mungkin kemurungan menghitung nasib yang sudah tersasar dari kebenaran, ada kesedihan kerana perselisihan dalam persahabatan, ada sayu kerana terasa kurangnya kasih sayang kekeluargaan, ada yang bingung memikirkan masa hadapan, ada yang kusut memikirkan bebanan pekerjaan dan ramai juga yang sedu meluahkan hati yang retak dilanda masalah percintaan.

Memang ada pandangan-pandangan khusus yang boleh difikirkan untuk tiap kesedihan. Tetapi sebenarnya ada 1 jawapan khusus dan terbaik untuk semua jenis kesedihan.

Dalam dunia ini sejak dari penciptaan Nabi Adam A.S, telah berlakunya pengiliran antara kesedihan dan kegembiraan. Ketika Adam dan Hawa bergembira disyurga, mereka juga dilanda kesedihan diturunkan kedunia. Begitu juga ketika tentera Islam meraikan kejayaan Perang Badar, mereka ditimpa kesedihan tumpas di medan Uhud. Dan hari ini juga umat islam ditimpa kesedihan melihatkan darah umat Islam yang deras mengalir dibumi Palestin, Iraq, Afghanistan, Bosnia dan India.

Tetapi janji Allah pengiliran tetap akan berlaku selepas kesedihan ini. Dunia suatu hari nanti akan diperintah oleh Imam Mahdi dalam keadaan umat Islam ketika itu akan merasai keamanan dan kesejahteraan. Sehinggakan manusia yang mati juga ingin hidup kembali kerana begitu damainya dunia dibawah pimpinan Imam Al-Mahdi pada waktu itu.

Mungkin kerana itu Allah menenangkan jiwa-jiwa yang ditimpa kepayahan dengan ayat

"Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (An-Nasyrah : 5)

dan...

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Yunus : 107)

Ujian adalah untuk meningkatkan ketakwaan. Elok juga kalau direnungkan atau difikirkan ayat-ayat Al-Quran ini bagi hati yang dilanda kesedihan:

"(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan" (Ali Imran [3]: 134)

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui" (Ali Imran [3]: 135)

Mungkin kita sering mendengar perkataan takwa, akan tetapi masih tercari-cari bagaimana ciri sebenar orang bertakwa. 3 Ayat diatas mungkin boleh memberi sedikit panduan.

1. Orang bertakwa ialah orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, cepat-cepat ia memohon ampunan dari Allah.

2. Orang bertakwa ialah orang yang suka menderma masa senang atau susah.

3. Orang bertakwa mampu menahan kemarahanya.

4. Orang bertakwa sentiasa memaafkan kesalahan orang.

5. Orang bertakwa suka membuat kebaikan. Dan apa pula kaitan ayat-ayat ni dengan kesedihan masalah percintaan, bebanan kerja dan sebagainya? Bagi saya kaitanya adalah inilah tips yang diberikan dari kitab Al-Quran bagaimana menghadapi kesedihan seterusnya meningkatkan lagi ketakwaan.

Tenangnya hati jika ayat-ayat diatas diamati dan diterjemahkan melalui:

1. Tatkala kita dilanda kesedihan tersebut, kita sentiasa memohon ampun dari Allah. Boleh jadi kesedihan itu adalah disebabkan dosa-dosa kita yang lalu.

2. Walaupun merasa sedih, tapi mungkin dengan menderma boleh menguatkan semangat diri. Derma adalah satu pengorbanan, dan orang yang benar-benar sanggup berkorban adalah orang yang mempunyai jiwa yang kental.

3. Baik juga diwaktu kesedihan kita mampu menahan perasaan marah. Perasaan marah cumalah menambahkan lagi kekusutan yang sedia. Perasaan marah membuatkan akal tidak dapat berfikir dengan waras. Mengawal marah bererti menahan amarah nafsu dari mengantikan akal untuk berfikir.

4. Maafkan kesalahan manusia lebih-lebih lagi manusia yang menyebabkan kesedihan. Memaafkan manusia memerlukan kekuatan. Dengan memaafkan, kita telah memiliki kekuatan tersebut.

5. Hapuskanlah kesedihan itu dengan melihat orang lain merasai kesenangan. Bila kita membantu manusia-manusia yang berada dalam kesusahan, manisnya kesenagan orang pasti tempiasnya dapat juga kita rasakan.

Yang lebih pentingya, kita sebenarnya juga akan diuji adakah kita mampu untuk memohon keampunan, menderma, menahan marah, memaafkan dan membuat kebaikan ketika kita dalam kesedihan. Jika kita mampu, dengan izin Allah boleh jadi kita tergolong dalam orang-orang yang diiktiraf ketakwaanya dan merasa tenang atas segala kesedihan yang akan mendatang.

No comments: